RihanHashim.net Sebuah laman perkongsian ilmu, pemerhatian dan pendapat.

Tuhan Tidak Reaktif

March 10

Pada suatu hari, saya menonton satu program realiti TV bertajuk America’s Next Top Model (ATNM). Ketika itu program ini agak popular dan laku bertahun-tahun, dengan banyak cycle atau pusingan dihasilkan. Dalam episod yang saya tonton itu, ada seorang model daripada India yang masuk bertanding, sebaris dengan model-model lain yang kesemuanya dari negara Barat. Bagi tujuan penceritaan, saya namakan beliau Shruti.

Di kalangan model-model lain yang bermata biru dan berbadan kurus, Shruti agak menonjol dengan berambut hitam, berkulit coklat dan susuk badan sederhana. Para hakim agak teruja mahu melihatnya menjadi model yang lebih berjaya, bermodalkan gaya dan wajah asianya yang unik, berbeza berbanding model-model lain.

Namun begitu Shruti tidak cemerlang menjayakan tugasan setiap saban minggu. Tugasan-tugasan mingguan dengan tema tertentu menuntut Shruti melahirkan sekian gaya dan ekspresi, seperti diarahkan oleh jurugambar. Gaya Shruti kaku dan wajahnya kurang ekspresi. Setiap kali masa pemilihan, para hakim akan memberikan beliau banyak tips dan panduan. Walaupun tidak cemerlang, mereka tidak menyingkirkan Shruti kerana mahu memberinya peluang.

Selepas beberapa minggu, Shruti tetap begitu juga. Beliau tidak berjaya menggunakan tips-tips dan nasihat yang diberi para hakim. Akhirnya beliau dikeluarkan daripada pertandingan. Sebelum pulang, Shruti diberi peluang berkongsi kata-kata akhir di depan kamera. Sambil air matanya berlinangan, Shruti berkata, “Saya yakin tuhan akan menunjukkan jalan kepada saya selepas ini.”

Kata-kata Shruti berlegar-legar dalam kepala saya beberapa minggu. Ungkapan itu biasa didengar. Apabila ditimpa ujian atau kesusahan, kita biasa berkata dan berdoa, “Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan yang benar. Keluarkanlah aku daripada kesusahan ini. Ampunkanlah dosa kami ya Allah.”

Namun kali ini saya berasa lain. Mungkin kerana selepas melihat Shruti seolah-olah tidak menghargai tips-tips dan ajaran para hakim, serta tidak cuba menggunakannya bagi meningkatkan kemahirannya. Lalu dalam hati saya terdetik, “Apakah tuhan itu reaktif, menunggu kita membuat A, baru Dia membuat B? Menunggu kita membuat salah dan memohon ampun, baru Dia mahu memberi petuntuk? Ataupun kita sahaja yang tidak melihat jalan, tidak belajar? Serta tidak belajar sebelum memulakan?”

Lantas teringat kepada ayat terakhir al-Quran, ayat 3 surah al-Maidah yang diturunkan pada hari Jumaat, 9 Zulhijjah tahun 9 Hijrah, ketika Nabi Muhammad wuquf di Arafah. Allah memberitahu, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu akan agamamu dan Aku sempurnakan pula nikmat-Ku kepadamu.” Tuhan memberitahu, Dia sudah menyempurnakan nikmatNya kepada manusia.

Dulu-dulu semasa kecil, pernah saya terfikir, bagaimanakah Tuhan yang Satu itu mengawal semuanya. Bagaimana tuhan mengurus doa berbilion-bilion manusia, setiap hari, dalam masa yang sama. Dalam masa yang sama juga, Tuhan mengurus alam, mengurus haiwan, cuaca, sistem planet dan sebagainya.

Ya, sebenarnya Tuhan sudah siap kerja-Nya. Tuhan bukan seperti manusia yang hidup atas garisan masa. Tuhan sudah aturkan semuanya. Tuhan sudah ciptakan cause and effect, punca-akibat, qadak dan qadar. (Menurut Hamka, cause dan effect, qadak dan qadar yang dimaksudkan terkandung dalam knowledge – ilmu.) Tuhan tidak reaktif, menunggu manusia bagi diberikan kebaikanNya.

Takdir itu bukanlah berlaku selepas manusia memulakan sesuatu. Takdir bukan balasan. Takdir sudah tercipta, hanya diaktifkan oleh perbuatan manusia. Manusialah yang memilih dan menunggu, apa mahu dibuat, apa mahu dicipta dan dikerjakannya.

Paling penting, bagi memilih takdir yang baik, yang benar dan penting, manusia perlu belajar knowledge, seperti menurut kata Hamka, takdir terkandung dalam sains ilmu.

(Nota: Dalam kes Shruti, jalan sudah ada di depan mata, beliau sahaja tidak nampak bagaimana nasihat dan panduan para hakim itu dapat membantu mencapai cita-citanya.)

Antara Buku Wajib Baca

October 4

“Riba itu haram. Memakan babi juga haram. Masyarakat kita begitu tegas dalam soal makan-minum yang melibatkan babi. Anehnya, mereka tidak setegas itu dalam hal-hal yang melibatkan riba.”

Kata-kata ini diluahkan oleh Pakdi, perunding kewangan Islam dan penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang. Saya kemudiannya berkongsi kata-kata itu ketika berbual-bual dengan Puan Ainon Mohd, pengerusi kumpulan penerbitan buku PTS.

Balas Puan Ainon, “Ada dosa yang buruk dan ada dosa yang cantik. Riba itu dosa yang cantik. Bank-bank konvensional duduknya dalam bangunan yang kukuh. Pekerjanya juga profesional, berpakaian kemas.”

Apabila saya kongsikan kata-kata Pakdi itu dengan rakan-rakan lain, reaksi diterima hampir serupa. Pada mulanya mereka seperti terkejut. Kemudian mereka menggeleng-geleng kepala, lalu berkata, “Parah. Hasil riba jangan dibuat main-main. Jangan diberi makan pakai kepada anak bini. Payah nanti jadi darah daging, hidup tidak berkat.”

Betapa benar, dalam surah al-Baqarah ayat 276, tuhan telah bersumpah, “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.”

Ibnu Majah dan Ahmad juga merekodkan Nabi Muhammad sudah berpesan, “Walaupun hasil daripada riba itu banyak, tetapi akhirnya ia akan mengecil (habis).”

Al-kisah, tidak berapa lama dahulu tergerak di hati ini belajar cara-cara mengurus kewangan. Kata seorang kawan, “Tiga perkara tidak diajarkan di sekolah ialah skil menjadi ibubapa, skil memandu di jalan raya, dan skil mengurus kewangan peribadi. Padahal ketiga-tiga skil itu kau gunakan hampir seumur hidup selepas habis sekolah.

Walaupun kau belajar perakaunan, yang diajar ialah cara mengurus wang orang lain, wang syarikat. Sekolah tidak ajar kau cara disiplin mengurus wang sendiri, atau cara-cara betul melabur. Selepas kau kerja, ada gaji bulan-bulan, siapa yang menasihatkan kau bagaimana mengurus duit? Perunding-perunding bank itulah…”

Lalu pada suatu hari saya pun masuk ke kedai buku, duduk di depan rak buku-buku mengurus kewangan peribadi dan menekuni satu persatu buku yang ada. Pilihan saya adalah buku oleh penulis tempatan, lebih-lebih lagi penulis beragama Islam. Pertama, saya kira penulis tempatan menulis mengikut situasi dan institusi kewangan tempatan, berbanding penulis-penulis barat. Jika penulis itu orang Islam, saya lebih yakin mahu percaya.

Dalam banyak-banyak buku, ada satu buku yang menarik minat. Buku Rancang Wang Dari Sekarang tulisan Pakdi. Bukunya cuma 176 mukasurat namun kandungannya padat, dan isinya relevan dengan isu-isu kewangan dihadapi ramai orang. Setiap bab diulas bersahaja, ringkas, mudah difahami. Antara bab-bab dalam buku itu ialah:

  • Islam dan Harta
  • Muamalat 101
  • Apa Impian Hidup Kita
  • Berapa Banyak yang diperlukan
  • Apa yang Mesti Kita Buat Selepas Dapat Gaji?
  • Pendapatan vs Perbelanjaan
  • Apa yang Kita Perlu Tahu Sebelum Beli Kereta?
  • Abang, Bila Mahu Masuk Meminang?
  • Sewa atau Beli Rumah
  • Hutang oh Hutang Oh, Semuanya Mudah dengan Kad Plastik
  • Jangan Jadi Penjamin
  • Apa Yang Kita Mesti Tahu Mengenai Takaful?
  • Jadi Tangan Yang Memberi
  • Apa yang Kita Perlu Tahu Mengenai Pelaburandan lain-lain…

Membaca buku ini memberi saya satu pengalaman baru. Pertama, isinya banyak menyentuh tentang hukum – apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan syariah dalam urusan mengurus wang. Membacanya memberi saya jaminan, bahawa ilmu yang disampaikan itu sudah jelas halal haramnya. Bak pesan ibu, guru-guru dan rakan-rakan, “Soal makan-minum, soal riba jangan dibuat main-main.”

Kedua, membaca buku ini saya rasa seperti dibawa naik rollercoaster. Mula-mula saya didedahkan perkara-perkara asas, kemudian melihat pandangan jauh, isu-isu sebenar, fakta, serta langkah-langkah yang perlu. Namun akhir sekali saya dibawa mendarat semula ke alam nyata, dengan rasa selamat. Bab terakhir buku ini memberi harapan, sesiapa sahaja boleh mula merancang dan mengurus wang. Memang itulah yang diperlukan oleh pembaca yang masih belajar di peringkat asas. Ia memberi saya gambaran besar, namun akhirnya ia tidak meninggalkan saya terawang-awang di atas awan, panik serta keliru tidak pasti hendak buat apa, atau mahu bermula dimana. Susunan bab-bab dalam buku ini baik sekali.

Berharga cuma  RM17.50 (atau lebih rendah di bookcafe.com.my), saya membuat kesimpulan: buku ini adalah buku asas yang wajib dibaca oleh pelajar sekolah, pelajar universiti atau sesiapa sahaja yang belum tahu asas mengurus wang. Tidak keterlaluan jika saya katakan, buku ini wajib ada dalam setiap rumah dan dibaca seisi keluarga. Bapa-bapa tidak akan rugi mendedahkan anak-anak dengan pengetahuan dalam buku ini. Ia boleh mendidik seisi keluarga berjimat-jimat, dan melihat wang sebagai suatu instrumen penting bagi jangka masa panjang.

Buku ini juga baik bagi dilaburkan sebagai sedekah kepada ahli keluarga, adik-adik, atau sesiapa sahaja yang baru bekerja, sebagai panduan untuk mereka merancang dan mengurus gaji. Ia satu usaha memupuk muda-mudi kita berpandangan jauh sejak awal, serta mengelak terbelit hutang di kemudian hari.

Harta yang berkat adalah harta yang sentiasa diguna orang. Ia tidak semestinya mahal. Ilmu yang dibukukan, dihadiahkan dan diamalkan pembaca lalu memberi manfaat berpanjangan kepada pelakunya juga mengalirkan kebaikan kepada tangan yang memberi.

Si Bijaksana dan Si Inventor

June 30

Luqman Hakim adalah seorang genius yang disebut dalam al-Quran. Kisah beliau diabadikan dalam sebuah surah bernama Luqman, yang mengandungi 34 ayat.

Tuhan memaklumkan dalam ayat 12 surah Luqman, “Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu).”

Apakah itu hikmah? Hikmah sering dikaitkan dengan sifat arif dan bijaksana. Ia dimiliki oleh orang berilmu, namun tidak semua orang berilmu memilikinya.

Menurut penulis Ruh al-Bayan, hikmah adalah ketepatan dalam memilih yang benar dengan lisan, ketepatan dalam berfikir dengan bantuan anggota badan dan ketepatan bergerak dengan anggota badan. Sekiranya berbicara, Luqman berbicara dengan hikmah. Sekiranya berfikir, beliau berfikir dengan hikmah dan sekiranya bergerak, beliau bergerak dengan hikmah juga.

Ramai orang bertanya kepadanya, “Daripada siapa tuan mempelajari hikmah?” Jawab Luqman,”Saya mempelajari hikmah daripada orang-orang bodoh, dan orang-orang bodoh. Saya melihat ada cacat pada diri mereka lalu saya berusaha menjauhinya.”

Thomas Edison adalah seorang inventor yang berjaya mencipta mentol lampu pada tahun 1879. Sebelum itu 9999 cubaannya tidak berjaya. Namun kata beliau,”Saya tidak gagal. Saya berjaya menemui 9999 cara yang tidak menghasilkan mentol lampu.” Dalam cubaannya yang ke-10,000 barulah mentol lampu beliau menyala.

Kata bijak pandai, kehebatan seorang pemikir terletak pada kemampuannya meneka dengan tepat hasil sesuatu tindakan. Itu adalah salah satu ciri hikmah. Sebab itulah pemikir yang hebat secara tepat sentiasa berjaya menghasilkan sesuatu. Bagaimanakah cara kita dapat meneka secara tepat apa yang akan berlaku? Salah satu caranya ialah melihat apa yang sudah berjaya dan apa yang tidak.

Namun dalam kes Thomas Edison, didapati ada lebih banyak cara yang tidak betul berbanding cara yang betul, dengan nisbah 9999:1 .

Dalam hidup, boleh jadi yang lebih penting ialah berusaha meninggalkan apa-apa yang tidak betul, bukannya lebih mencuba apa-apa yang kita sangka betul.

Luqman Hakim menjadi bijak dengan melihat kebodohan pada orang lain dan kemudian berusaha tidak melakukannya. Beliau sudah melihat sesuatu yang bodoh, lalu berusaha supaya dirinya tidak mengulang kebodohan itu.

Dalam kes Thomas Edison, beliau juga tidak mengulang kesilapan. Namun 9999 kesilapan itu terpaksa dilaluinya sendiri terlebih dahulu. Boleh jadi sebelum itu, tiada sesiapa pernah cuba mencipta mentol lampu. Jadi Thomas Edison tidak dapat belajar daripada kesilapan orang itu. (Boleh jadi juga sebelum itu kitab cara-cara mencipta mentol lampu sudah ada, namun telah dibakar oleh orang-orang Mongol).

Apapun, Thomas Edison terpaksa menghabiskan masanya bagi melalui 9999 kesilapan sambil berusaha tidak mengulang 9999 kesilapannya sendiri itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau berjaya menemui satu cara yang betul. Nasib baik usianya panjang. Beliau berjaya menyudahkan 10,000 eksperimen.

Nasib kita mungkin tidak sebaik Thomas. Boleh jadi tempoh usia kita tidak panjang. Maut sentiasa mengikut kita di belakang. Setiap hari ia semakin dekat. Masa kita semakin kurang, jadi kita perlu bijak memanfaatkan apa yang sedikit.

Meneladani Luqman Hakim, genius yang disebut dalam al-Quran, lebih baik kita belajar daripada orang, dengan tidak mengulanginya kebodohan mereka. Jangan juga kita jadi seperti Thomas Edison yang terpaksa belajar daripada kesilapannya sendiri.

Pada pendapat saya, boleh jadi itu antara kebaikannya alim ulamak menasihatkan kita supaya berguru dengan orang. Tidak cukup hanya berguru dengan buku.

Manusia itu sentiasa belajar. Guru yang terbaik sudah tentulah orang yang bijaksana dan berhikmah. Kerana mereka sentiasa belajar daripada kesilapan orang dan kesilapan mereka sendiri.

Iklan Scrabble

June 10

“Children learn language by playing with words, testing, experimenting, making mistakes and being gently corrected. We should adopt a playful attitude towards words and treat them as friends. Word games will increase your verbal dexterity and intelligence rating. Many standard IQ tests use word puzzles.

Anagrams, cryptic crosswords, code-breakers, word searches, dingbats (also known as rebuses) and other verbal conundrums are excellent mental exercise. Scrabble is ideal in this regard. If you want to play it seriously you will have to learn many obscure short words that use the high-value letters. The dictionary game is simple but fun. One person reads out a definition from the dictionary and others have to identify the word. The reader can choose a common word but start with one of its less common meanings.

Practice improves your performance with word puzzles, which is one reason why people can prepare for IQ tests and improve their scores in them.”

Disalin daripada buku How to be a Brilliant Thinker: Exercise Your Mind and Find Creative Solutions karya Paul Sloane.

Philobukus

June 10

Berjumpa dengan maklumat di bawah ini buat saya semakin seronok membaca. Keseronokannya seperti berjumpa dengan kawan baru yang membuat kita lebih tahu.

‘Philology’. It means the science of language and its historical development. It comes from the ancient Greek word philos, meaning ‘a friend’, and the Greek word logos, meaning ‘a word’ – so philology’s roots mean ‘love of words’. While we are in this section of the dictionary we might notice that ‘philanthropy’, ‘philately’, ‘philharmonic’ and ‘philosophy’ all use the same Greek root of philos and they all refer to the love of something. If we do this we are on our way to becoming philologists, people who love words and study the science of language.

-Disalin daripada buku How to be a Brilliant Thinker: Exercise Your Mind and Find Creative Solutions karya Paul Sloane.

Haiyya Alal Falah

June 9

Kata orang putih, words can either wound or heal, yang bermaksud perkataan boleh menyebab luka ataupun menyembuhkan. Kata orang Melayu pula, mata pena lebih tajam daripada mata pedang.

Pokoknya, perkataan adalah sesuatu yang berkuasa. Jika pedang boleh menusuk fizikal dan menumpah darah, perkataan pula boleh menusuk hati dan membakar semangat sehingga bernyala-nyala.

Oleh itu, apabila kita bersolat lima waktu, sangatlah rugi jika kita tidak fokus kepada bacaan di dalamnya. Selain mengesakan tuhan dan menyatakan ikrar hidup mati, majoriti bacaan dalam solat adalah doa, iaitu permohonan dan permintaan yang baik-baik. Kita pula mendirikan solat secara teratur dan pro-aktif lima kali sehari, tetap dalam waktu-waktunya yang tertentu.

Kata bijak pandai, kita adalah apa yang kita fikirkan. Sesetengahnya siap menanyakan soalan, “Berapa banyak kata-kata dan perkara baik yang anda fikirkan setiap hari?” Menurut mereka, kata-kata dan perkara baik yang difikir-fikirkan akan berlegar-legar dalam fikiran dan hati, kemudian dimanisfestasi ke dalam bentuk tindakan. Lalu berhasillah kejayaan.

Atas sebab inilah, musuh manusia yang nyata iaitu syaitan secara strategiknya sangat kuat mengganggu kita bersolat, kerana tidak mahu kita berjaya. Mereka kuat mengganggu kita apabila masuk waktu-waktu solat, ketika kita hendak solat, malah ketika kita sedang solat.

Berjuanglah demi kejayaan kita, bukan demi menewaskan mereka.

Langkah pertama, mari fahami makna bacaan dalam solat.

1:9 dan 9:1

June 9

Pagi tadi, ketika mahu membayar harga sarapan di kedai, saya nampak akhbar Utusan Malaysia terpampang di atas meja kashier. Berita utama muka depan melaporkan 200 orang pekerja asing lelaki dari Bangladesh dan Vietnam bergaduh di Nilai. Puncanya salah seorang pekerja Bangladesh cuba memikat seorang pekerja asing wanita Vietnam. Foto di akhbar menunjukkan pekerja-pekerja asing lelaki itu sedang memegang senjata mereka ketika bergaduh. Kebanyakannya seperti membawa kayu atau besi paip.

(Foto oleh Utusan)

Hati saya berbisik, “Hebatnya kuasa wanita. Seorang sahaja boleh menyebabkan 200 lelaki bergaduh. Bukan dia buat apa-apapun, ada orang yang cuba memikatnya.”

Baru-baru ini di laman Facebook seorang kenalan, berlaku ulas-mengulas, jawab-menjawab tentang sebuah satu hadis yang lebih kurang berbunyi, “Wanita memiliki satu akal sembilan nafsu. Lelaki pula memiliki satu nafsu dan sembilan akal.”

Saya tidak pasti hadis ini sahih atau tidak. Namun yang pasti sejak dahulu hingga sekarang, jika hadis ini dibangkitkan dimana-mana, ia menjadi topik rancak pihak lelaki dan perempuan.

Jujurnya, secara peribadi saya kurang suka hadis ini dibahaskan. Pertama, bunyinya seperti merendahkan perempuan – kurang akal, nafsu banyak. Juga apabila dibahaskan, selalu ada ulasan-ulasan kaum lelaki yang kurang sensitif mengatur kata. Sekalipun jika benar wanita itu kurang akal, tetap tidak seronok mendengar dan membaca ulasan-ulasan yang merendahkan martabat manusia.

Kedua, tidak pasti akan kesahihannya. Kupasan hadis yang jelas, jika ada, juga tidak diketahui ramai. Nafsu apa yang banyak itu? Akal mana yang satu itu? Perbincangan mengenainya juga biasanya tidak membawa kemana-mana.

Sekali-sekala apabila melihat orang-orang kaya yang kuat dan rajin bekerja, serta para isteri mereka yang serba ‘mahal’ tetapi tidak perlu bekerja, saya teringat hadis yang bernisbah ini. Otak saya mula berfikir-fikir, mengira-ngira lalu mengatur teori.  Nisbah 1:9 dan 9:1 itu sepadan.  Bagaikan lelaki dan wanita yang dijadikan saling melengkapi, menjadi pakaian antara satu sama lain.

Jadi teorinya:

  • Boleh jadi wanita memang memiliki satu akal sahaja, namun akal yang satu itu sangat dalam.
  • Akal yang satu itu digunakan wanita bagi memenangi hati lelaki, dengan cara memenuhi nafsu lelaki, yang satu itulah.
  • Lelaki pula, bagi memenangi hati wanita, menggunakan kesemua sembilan akalnya bagi memenuhi nafsu wanita yang sembilan juga jumlahnya. 

Nafsu yang sembilan itu berbeza-beza bagi setiap wanita. Ada yang bernafsu pergi naik umrah dan haji, bernafsu memiliki perpustakaan peribadi, bernafsu memiliki satu almari kasut, bernafsu memiliki keluarga besar dan sebagainya.

Nota: Ini teori saya sahaja ya, dan biasanya satu teori tidak terpakai kepada semua. Ramai wanita yang berdikari secara ekonomi serta memenuhi sendiri nafsu pembelian mereka, tanpa bantuan suami.

Tabiat-Tabiatnya

June 8

Kita adalah apa yang biasa kita buat.

Jika kita biasa mengemas, kita jadi pengemas. Jika kita biasa membaca, kita jadi pembaca. Jika kita biasa merapu, jadilah kita seorang perapu.

Perkataan yang sama erti dengan kebiasaan, namun lebih terkenal ialah ‘tabiat’. Oleh kerana itu ayat-ayat seterusnya akan menggunakan perkataan itu.

Kita adalah tabiat-tabiat kita. (Ayat ini sama ertinya dengan ayat pertama di atas, bukan? :) )

Tabiat-tabiat kita boleh jadi penyokong atau penghalang apa yang kita mahu buat dan capai dalam hidup. Contohnya kita mahu lebih sihat namun kita ada tabiat memakan makanan tidak berkhasiat. Lalu, objektif mahu lebih sihat itu sukar dijayakan ataupun tidak dapat dijayakan langsung.

Oleh itu apabila kita mahu melakukan sesuatu, elok juga kita periksa inventori tabiat-tabiat kita. Pastikan samaada diri kita ada lebih banyak tabiat yang akan menyokong, ataupun yang akan menghalang kejayaan niat kita yang suci murni itu. Langkah ini boleh membantu kita menetapkan matlamat yang lebih realistik, sekaligus mengelak risiko berasa kecewa, rugi masa serta belanja, dan sebagainya dek gagal mencapai apa yang dimahukan.

Manusia dijayakan oleh tabiat-tabiatnya.

Lebih bagus lagi, elok juga kita secara pro-aktif senantiasa menjayakan tabiat-tabiat yang baik dalam diri kita. Kelak mudah tabiat-tabiat baik itu menyokong niat dan matlamat-matlamat kita yang juga baik-baik semuanya.

Manusia berjaya kerana tabiat-tabiatnya.

Apabila Kucing Bercerita…

May 24

Seorang kenalan saya sedang giat melaporkan di laman  Facebook beliau, gelagat terkini seekor anak kucing yang sedang berusaha masuk tinggal di rumahnya.

Hal ini telah mengingatkan saya kepada bekas-bekas kucing saya di rumah pada 20 tahun yang lepas, dan sedikit refleksi daripadanya.

Ketika zaman sekolah rendah dahulu, saya suka membela kucing. Dalam satu masa ada dua, tiga ekor kucing di rumah. Balik sekolah, terus saya cari kucing. Petang-petang, saya main dengan kucing lagi. Malam-malam, sebelum makan bersama keluarga, saya cari kucing dahulu dan beri mereka makan, sebab kasihan teringat kepada karangan cerita ‘aku seekor kucing’ dalam majalah kanak-kanak, yang mana kucing itu bercerita betapa sedihnya ia lapar tidak diberi makan. Kucing lapar itu melihat sahaja keluarga tuannya makan malam.

Ada satu cerita kucing yang saya baca diceritakan oleh ibu kucing yang kempunan mahu makan ikan merah yang dimasak tuannya. Akibatnya pada suatu hari ketika emak memasak gulai ikan merah, dua pertiga lauk ikan merah bahagian saya senyap-senyap masuk ke perut kucing. Manalah tahu kucing saya itu juga berperasaan seperti ibu kucing yang bercerita itu, cuma ia tidak pandai cakap.  Begitulah, berpengaruhnya cerita-cerita karangan haiwan kepada kanak-kanak.

Kucing-kucing yang dibela itu sebenarnya tidak dicari. Di kampung, rumah ibubapa saya terletak di tepi jalan besar, berhadapan dengan sebuah surau. Sesetengah pengunjung surau membuang kucing mereka dengan membawanya bersama ketika mereka hadir mendengar kuliah maghrib. Kucing-kucing itu dibawa di dalam guni, kemudian dilepaskan di tepi surau. Biasanya yang dibuang adalah anak-anak kucing. Ada juga yang dibuang lengkap dengan ibunya sekali. Banyak kucing-kucing terbuang itu kemudiannya melekat di rumah kami kerana ibubapa saya tidak kisah memberi mereka makan.

Keceriaan membela dan bermain dengan kucing-kucing tersebut, bagaimanapun tidak panjang.

Selepas sudah suka dan sayang, banyak kucing saya mati dilanggar kereta akibat melintas jalan besar di depan rumah. Biasanya ayah sayalah yang menemui bangkai mereka di tepi jalan. Dua tiga hari selepas itu baru saya tahu. Ayah cuma beritahu selepas saya sudah merajuk tidak mahu makan malam, sebelum kucing saya balik ke rumah dan makan.

Begitulah silih berganti. Selepas seekor, seekor mati, berganti dengan kucing terbuang yang lain. Sampai satu ketika dek kerap menanggung kesedihan akibat kucing kesayangan mati atau hilang, saya memutuskan tidak mahu sayang kepada kucing lagi. Mana-mana kucing baru datang cuma dipandang dengan sebelah mata. Belek-belek tidak, beri makan pun tidak. Hanya ibubapa saya yang tetap memberi mereka makan…

Kisah ini akan bersambung dalam entri yang baru. Khabarnya lima perenggan untuk satu entri blog sudah panjang bagi bacaan di laman web.

Jatuh Basikal

May 17

Salah satu peristiwa bersejarah saya pada tahun 2011 ialah menjalani dua pembedahan kecil membuang keempat-empat gigi bongsu. Sekali bedah dibuang dua, satu di atas dan satu di bawah.

Ketika melalui pembedahan kecil pertama, saya agak berdebar-debar dan gerun mahu disuntik ubat pelali. Namun hal itu tidak dapat dielakkan. Sebelum menyuntik jarum, Dr. Michael Ong, pakar Oral & Surgeri Maxillofacial di Hospital Sunway Medical (SMC) memberitahu, “Ini akan buat puan berasa sakit sedikit. Bertenang ya.”

Benar, ketika jarum memasuki gusi, ia berasa sakit sedikit, ngilu seperti disengat, hinggakan saya naik terkejut. Syukur ia cuma berlangsung beberapa saat sahaja.

Sebulan selepas itu, saya menjalani pembedahan kecil kedua pula. Anehnya, kali ini saya tidak berdebar atau gerun langsung ketika mahu disuntik. Ketika jarum suntikan mencucuk ke dalam gusi, kesakitan yang sama dirasai, tetapi saya boleh bertenang, malah fokus menikmati kesakitan itu selama beberapa saat. Seketika saya berkata kepada diri sendiri, “Rupanya aku boleh bertahan.”

Pengalaman itu juga buat saya tercengang-cengang sedikit.

Dalam hidup, banyak orang bercita-cita membuat sesuatu yang baru tetapi tidak berani kerana takut susah atau gagal. Proses mendapat kejayaan, terutama yang besar-besar adakala melibatkan beberapa siri kepayahan atau kegagalan. Setiap kepayahan dan kegagalan rupa-rupanya memberi nilai tambah, memperbaiki diri atau memberi ilmu baru yang hanya boleh didapati melalui pengalaman. Sebab itulah bekal hidup ialah sabar.

Contohnya mula-mula kita belajar naik basikal mesti jatuh. Kita takut jatuh, tapi selepas jatuh sekali, kita tidak takut lagi jatuh berkali-kali selepas itu, sebab sudah rasa. Malah jatuh-jatuh seterusnya itu boleh diatur-atur, jatuh atas rumput umpamanya, supaya kurang sakit.

Lebib baik lagi, jatuh semasa sokongan ibubapa masih ada.

« Older Entries